HULU TERENGGANU, 2 November- Festival Kenyir Geopark 2025 berjaya mencapai sasaran pengunjung dengan rekod lebih 60,000 orang hadir sepanjang tiga hari penganjuran, yang berakhir semalam.
Penduduk sekitar turut menunjukkan kepuasan terhadap penganjuran festival yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan ekopelancongan, kesenian tempatan dan keunikan geopark di Tasik Kenyir.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), festival itu bukan sahaja menjadi platform mempromosikan keindahan semula jadi Tasik Kenyir tetapi juga membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat melalui penyertaan usahawan kecil dan penggiat industri kreatif.
"Sambutan yang diterima, orang kata, di luar jangkaan. Jadi, kami pun menambah semula stok barang. Memang diluar jangkaan sangat. Kami berterima kasih kepada pihak KETENGAH kerana menganjurkan program ini dan membuat promosi yang amat memberangsangkan," kata usahawan, Wan Muhammad Isamuddin Wan Musa.
"Untuk acara ini, alhamdulillah. Bukan sahaja seluruh negeri Terengganu, malah negeri lain pun ada yang datang untuk menyokong acara di ini," kata Nor Hasmuni Mohamad, pengunjung.
"Program ini sangat membantu dalam menjana ekonomi Terengganu. Jadi, semua boleh datang ke sini. Di sini, bukan sahaja ada makanan tetapi ada juga seperti agensi perkhidmatan Ar Rahnu, YAPIM dan agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Terdapat banyak kemudahan perkhidmatan di sini. Jadi, acara ini boleh mengeratkan lagi silaturahim antara rakyat Terengganu serta mempopularkan Tasik Kenyir," kata Noraizon Mas'ud, pengunjung.
Festival anjuran KETENGAH tersebut turut memperkukuh usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi geopelancongan unggul di rantau ini.