fb fb fb fb fb

Sambutan HPPK 2025, medium iktiraf komuniti usahawan mikro

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick/RTM

TEMERLOH, 2 November - Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025) menjadi medium mengiktiraf komuniti usahawan mikro dari seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, karnival yang berlangsung di Pekan Sehari Temerloh hari ini, merupakan antara program terbesar anjuran kementerian itu dan menjadi simbol kebangkitan penjaja dan peniaga kecil.

"Penganjuran HPPK2025 pada kali ini disertai oleh lebih 800 orang usahawan yang berjualan sepanjang HPPK2025. Mereka terdiri daripada usahawan Satu Daerah Satu Industri, usahawan-usahawan di bawah Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, termasuk seramai 50 usahawan daripada Pahang dan penjaja dan peniaga kecil dari Pekan Sehari Temerloh."

"Jumlah itu termasuk lebih 700 penjaja di Pekan Sehari Temerloh yang juga merupakan pekan sehari terpanjang di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK 2025) di Temerloh.

Sementara itu Datuk Ewon turut memaklumkan, menerusi karnival berkenaan, komuniti penjaja dan peniaga kecil berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat secara terus daripada jabatan-jabatan kerajaan.

Ini selain agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Usaha tersebut jelas beliau merupakan pendekatan baharu dalam memastikan dasar yang digubal benar-benar menyentuh keperluan rakyat.

EZA YUSMAWATI YAACOP