fb fb fb fb fb

Orang ramai dinasihatkan menjauhi pantai - JBPM Terengganu

KUALA NERUS, 26 Februari - Penduduk yang berada dikawasan rendah serta berhampiran pantai diminta sentiasa peka dengan keadaan cuaca serta ombak besar yang melanda ketika ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abdul Rashid berkata berdasarkan ramalan yang dikeluarkan Met Malaysia angin kencang serta ketinggian ombak mencecah 4.5 meter dijangka melanda negeri itu sehingga Isnin.

Menurutnya ombak yang agak besar di sebahagian pantai di negeri itu dikhuatiri mengakibatkan berlaku limpahan air di kawasan rendah.

Justeru, para penduduk yang berada di kawasan berisiko diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah awal bagi menggelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

"Sekarang ini kita telah membuat rondaan sejak dua hari lalu, kita telah melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan bahawa tiada kemalangan yang melibatkan ombak atau rumah-rumah yang berada di pesisir pantai yang terdedah kepada ancaman", kata Md Hilman selepas melakukan rondaan di pantai Seberang Takir, di sini.

Orang ramai dinasihatkan menjauhi pantai berikutan peralihan Monsun Timur Laut masih belum berakhir.

Media Baharu