fb fb fb fb fb

Orang ramai diminta bertenang, punca letupan dan gegaran di Ipoh disiasat

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 21 Jun - Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian letupan dan gegaran misteri yang dirasai di beberapa Kawasan di Bandaraya Ipoh, Rabu lalu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jabatan dan agensi berkaitan akan menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian misteri tersebut.

"Tetapi ini katanya berlaku di Ipoh, tetapi perlu diingat ia juga dikesan pernah juga berlaku di Selangor pada tahun ini. Ia berkemungkinan ahli geologi boleh lakukan kajian, kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.

"Orang ramai saya harapkan tidak perlu resah, setakat ini tiada berlaku sebarang gegaran gempa bumi di negara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh.

Rabu lepas, orang ramai di sekitar Bandaraya Ipoh mendakwa mendengar bunyi letupan dan gegaran kira-kira pukul 10.30 pagi, namun sehingga kini puncanya masih belum diketahui.

Pada 21 Oktober tahun lepas, satu gegaran kuat turut dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya itu, antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput, disusuli bunyi dentuman kuat namun hasil siasatan tidak dapat mengesahkan punca kejadian berkenaan berlaku.

TETITIA YUSOFF