fb fb fb fb fb

Orang ramai diingat jangan jadikan banjir ‘pesta air’, daftar VSP segera

Datuk Mohd Yusof Mamat menyantuni penduduk terjejas banjir di PPS SK Kok Keli, Tumpat

TUMPAT, 25 November - Penduduk terjejas banjir di Kelantan digalakkan mendaftar aplikasi Volunteer Smartphone (VSP) untuk melaporkan status kediaman mereka sepanjang banjir.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusof Mamat, berkata orang ramai hanya perlu mendaftar maklumat peribadi dan kediaman melalui telefon pintar, sama ada iPhone atau Android.

“Orang ramai hanya perlu mendaftar melalui iPhone atau Android. Setakat ini, masih tiada yang mendaftar di Kelantan. Sebenarnya, aplikasi VSP memudahkan kerana orang ramai tidak perlu pergi ke balai untuk membuat laporan; semuanya boleh dilaporkan melalui aplikasi. Saya mengalu-alukan penyertaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Kok Keli, Tumpat.

Jelas Datuk Mohd Yusof, pihaknya belum menerima sebarang laporan kes pecah rumah atau kecurian berkaitan banjir gelombang pertama. Walaubagaimanapun, rondaan secara berkala dilakukan anggota bertugas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Mengenai koordinasi bersama agensi lain, beliau berkata operasi menyelamat pasukan keselamatan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. PDRM hanya menggunakan 10 peratus aset logistik kerana gelombang pertama banjir berskala kecil, tertumpu di kawasan rendah dan melibatkan empat daerah sahaja iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Jelasnya, tiada balai polis terkesan dan semua masih beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun, 21 anggota di Tumpat terpaksa dipindahkan ke PPS di seluruh jajahan selepas kediaman mereka dimasuki air.

Setakat ini, satu kematian dilaporkan iaitu seorang wanita warga Indonesia di Gua Musang, hanyut akibat kepala air Jumaat lalu.

Bagi kawalan sempadan sepanjang banjir, beliau menegaskan ia masih berjalan seperti biasa dengan anggota tetap, dan belum memerlukan penugasan PGA untuk gelombang pertama.

“Penyeludup kalau boleh nak banjir sepanjang masa kerana mereka boleh rentas sempadan… bawa bot masuk dan sebagainya. Namun kita sudah bersedia, buat persediaan awal sekiranya limpahan air Sungai Golok berlaku. Kita telah kenal pasti lebih 20 titik panas," katanya.

Datuk Mohd Yusof turut menasihatkan orang ramai, terutamanya golongan muda, agar tidak menjadikan banjir sebagai “pesta air” kerana boleh mengundang mudarat.

Amaran turut diberi kepada mereka yang melakukan kesalahan seperti berlumba motosikal dalam air atau mengubah suai ekzos.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE