fb fb fb fb fb

Ops TBC, JPJ Perlis keluarkan 1,119 saman

Foto JPJ Perlis

KANGAR, 13 Februari- Sebanyak 6,000 kenderaan diperiksa menerusi Operasi Musim Perayaan bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan cuti persekolahan, bermula sejak 1 Februari sehingga semalam.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,119 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
 
Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Perlis, Muhamad Nazri Hamzah dalam kenyataannya, kesalahan paling tinggi adalah melibatkan pelesenan kenderaan dengan 474 kes, pelesenan pemandu dengan 293 kes, 199 kes melibatkan pelbagai kesalahan teknikal dan 153 kes lagi, bagi pelbagai kesalahan lain.
 
Selain itu, sebanyak empat buah motosikal dan empat buah kereta turut disita atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada lesen memandu yang sah.
 
JPJ Perlis turut menyita lesen memandu dan lesen vokasional seorang pemandu bas ekspres yang positif dadah, ketika ujian dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Bas Bukit Lagi.
 
Tumpuan utama operasi melibatkan beberapa laluan utama iaitu Jalan Utama Changlun ke Kuala Perlis, Jalan Chuping ke Padang Besar, Jalan Kangar ke Alor Setar, Jalan Arau menghala ke Kodiang serta Jalan Kangar ke Beseri dan Padang Besar.
 
Operasi secara keseluruhannya melibatkan 10 orang pegawai dan 60 anggota Bahagian Penguat kuasa JPJ Perlis, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Alam Sekitar, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM