KUBANG PASU, 13 Februari- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menerima peruntukan keseluruhan RM250,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Program Mentor Mentee bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata KEDA, kini mempunyai seramai tiga mentor dan 25 mentee yang berdaftar dengan peruntukan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM250,000.
Beliau berkata, setiap mentee yang terpilih diberi bantuan maksimum sebanyak RM10,000 dan ini merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan.
“Mentor akan membekal semua peralatan dan akan memantau setiap mentee bawah mereka.
“Bawah program ini, bantuan adalah merangkumi peralatan, latihan dan kursus yang dikendalikan oleh mentor secara 'one to one coaching' dan semua mentee yang terlibat dengan program ini telah disemak dan dipastikan bahawa mereka masih aktif menjalankan perniagaan,"katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Peralatan bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Mentor Mentee di Darulaman Golf Club, Jitra.
Ismasuhaimi berkata, terdapat tiga bidang yang merangkui bidang penyejukbekuan dan penyaman udara, jahitan serta makanan ala thai dijalankan bagi program mentor mentee tersebut.
Jelas beliau, pihak KEDA akan memantau mentor dan setiap mentee selama setahun seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKDW.
“Walaupun tempoh pemantauan program telah tamat, pihak KEDA akan memastikan mentor akan terus memantau dan membantu mentee untuk terus meningkatkan pendapatan.
“Diharap agar mentor dan semua mentee terus konsisten dalam menjayakan program ini dan boleh menjadi contoh kepada model perniagaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.
Untuk maklumat, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah B40 di luar bandar di negeri Kedah melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek ekonomi yang berupaya meningkatkan taraf hidup mereka khususnya dan kualiti hidup mereka umumnya.