fb fb fb fb fb

Ops Pagar Laut: Rampasan lebih RM4.8 juta, 312 individu ditahan

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah

KOTA KINABALU, 16 April- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatatkan rampasan bernilai lebih RM4.8 juta sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025 yang berlangsung dari 10 Mac hingga 18 April lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, rampasan terbesar dalam operasi itu melibatkan dua bot nelayan asing dengan nilai anggaran mencecah RM3 juta.

Sebanyak 312 individu disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan telah ditahan, termasuk 13 warga asing dari Myanmar, Indonesia, China, Iran, Bangladesh, Vietnam dan beberapa negara lain.

"Ops Pagar Laut yang telah bermula sejak tahun 2016 ini dilaksanakan bagi memperketat kawalan sempena sambutan Aidilfitri. Kita memastikan tiada unsur jenayah rentas sempadan atau elemen asing yang cuba menyusup masuk melalui perairan negara," ujar beliau dalam sidang media selepas menutup operasi itu di Kota Kinabalu.

Tambah beliau, penurunan jumlah kes tangkapan kali ini menunjukkan keberkesanan tindakan pencegahan awal, hasil pemantauan berterusan dan kerjasama erat komuniti maritim serta masyarakat setempat.

Datuk Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada lebih 800 pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas tanpa henti secara bergilir siang dan malam sepanjang tempoh operasi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE