fb fb fb fb fb

Pejabat Ketua Menteri Melaka nafi penglibatan Ab Rauf dalam kes SPRM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA, 16 April- Pejabat Ketua Menteri Melaka hari ini menafikan dakwaan yang mengaitkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan kes penahanan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan rasmi, Pejabat Ketua Menteri menegaskan bahawa Ab Rauf tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu berkenaan dianggap sebagai tidak berasas, spekulatif, dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Sebarang dakwaan yang dibuat adalah tidak berasas dan jelas bertujuan untuk menjejaskan reputasi kepimpinan negeri Melaka. Pentadbiran kerajaan negeri sentiasa menghormati kebebasan institusi penguatkuasaan undang-undang dan memberikan kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dengan telus,” kata kenyataan tersebut.

Pejabat Ketua Menteri juga menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat, khususnya di media sosial. Penyebaran berita palsu dan fitnah boleh menyebabkan kerosakan kepada reputasi individu dan institusi, dan tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan ini.

Sementara itu, pentadbiran kerajaan negeri juga menegaskan komitmen untuk memastikan semua proses penguatkuasaan undang-undang dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE