fb fb fb fb fb

OP Samseng Jalanan: 1,300 motosikal diperiksa, lebih 70 disita

Operasi besar-besaran Polis Trafik Kuala Lumpur menerusi OP Motosikal dan OP Samseng Jalanan.

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Polis Trafik Kuala Lumpur menahan lebih 1,300 motosikal dalam operasi berskala besar di sekitar ibu negara.

Operasi dua fasa itu dilaksanakan menerusi OP Motosikal dan OP Samseng Jalanan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, operasi bermula sekitar pukul 10.30 malam dan berakhir awal pagi tadi.

“Dalam fasa pertama bermula pukul 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam, sebanyak 35 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan di sekitar pusat bandar,” katanya ketika ditemui media.

Fasa kedua operasi bermula sekitar pukul 2.45 pagi di Jalan Ampang dengan lebih 1,300 motosikal diperiksa.

Setakat ini, lebih 37 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk penggunaan ekzos bising dan tayar kecil.

Sebanyak 376 saman dikeluarkan dalam fasa pertama dan jumlah itu dijangka meningkat selepas pemeriksaan selesai.

ACP Mohd Zamzuri menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak terutama remaja, agar tidak menunggang motosikal secara berbahaya.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung akan menarik kehadiran ramai pemimpin negara ke Kuala Lumpur dan bunyi bising motosikal boleh menjejaskan imej negara.

Katanya, kerjasama keluarga dan penunggang motosikal amat diperlukan bagi mencegah perkara itu.

Tambah beliau, operasi berkenaan bukan semata-mata kerana sidang kemuncak, sebaliknya merupakan operasi harian pasukan trafik bagi membanteras samseng jalanan.

Menurutnya, operasi dijalankan hampir setiap malam dan tangkapan turut dibuat secara berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Tiada kemalangan dilaporkan sepanjang operasi, walaupun ada cubaan melarikan diri oleh segelintir penunggang.

Antara laluan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas ialah Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Bukit Bintang dan Sultan Ismail.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN