fb fb fb fb fb

Ops Kesan: 1,016 premis diperiksa, 24 daripadanya diberi notis

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

TAWAU, 3 Mac - Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa sebanyak 1,016 premis dan 24 daripadanya diberikan notis, menerusi Ops Kesan bermula 1 Mac hingga 2 Mac 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

"Melalui pemeriksaan tersebut kita telah mengeluarkan 24 notis kepada peniaga dan notis itu adalah melibatkan premis yang kita melihat memang ada dilakukan perubahan terhadap harga, jadi apa yang kita mahu melalui notis itu supaya peniaga terbabit memberikan maklum balas kepada, kita mengapakah perubahan harga itu dilakukan dalam tempoh empat hari untuk kita mengkaji.

"Harga dibuat itu adalah selari dan tidak bertentangan dengan undang-undang pencatutan kita iaitu melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, jadi itu tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN dan tempoh dua hari sudah 1,016 premis 24 notis," kata Armizan kepada media di Pulau Sebatik, di sini.

Armizan berkata, Ops Kesan akan terus digerakkan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

Skop penguatkuasaan adalah meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan, termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.

Menurutnya, Ops Kesan telah dikuatkuasakan melalui Arahan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bil. 8/2024 yang telah dikeluarkan pada 29 Februari 2024 dan dipanjangkan kepada semua KPDN Negeri.

Pada masa sama, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat dan bukti berkaitan tentang sebarang tindakan kenaikan harga tidak berwajaran yang dikenal pasti.

Aduan awam boleh dibuat kepada KPDN melalui platform aduan WhatsApp iaitu 019-848 8000 / 019-279 4317, Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Sementara itu, Armizan Mohd Ali berkata , lawatannya ke sempadan Malaysia-Indonesia dan mengadakan pemantauan pengedaran barang kawalan di Pulau Sebatik untuk melihat operasi dilapangan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsudi.

Pihaknya mendapatkan maklumbalas masyarakat setempat mengenai keberadaan bekalan barang keperluan harian dan mengenal pasti makanisme penambahbaikan pelaksanaan program penyeragaman harga barang kawalan dan barang perlu di kawasan sempadan.

Ketika ini juga, KPDN mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi menerusi pendekatan operasi bersepadu sejak 2020 bagi memantau pengedaran dan mengawal ketirisan barangan kawalan.

Kerjasama berkenaan meliputi pemantauan dan pemeriksaan dikawasan sempadan Malaysia-Indonesia yang berpotensi digunakan sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan.

Antara agensi utama ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan AM dan Pasukan Polis Marin; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Lawatan ini juga adalah untuk kita melihat dilapangan pelaksanaan program yang kita namakan penyeragaman harga barang kawalan dan barang perlu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan melalui KPDN, dimana tujuh barang terlibat dalam program ini iaitu diesel, minyak RON 95, LPG, beras, gula, tepung gandum dan minyak masak," katanya lagi.

Armizan memberitahu, pihaknya juga meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan program penyeragaman harga barang kawalan bagi kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang melibatkan peruntukkan subsidi kerajaan bagi penghantaran kepada pusat jualan.

Penambahbaikan itu akan melibatkan empat komponen iaitu kaedah perolehan perlantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan, penentuan jumlah kualiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan.

Beliau berkata, bagi tahun 2024 penambahbaikan akan dirintis untuk tiga komponen yang lain termasuk rujukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan anggaran keperluan isi rumah di sesebuah kawasan untuk menentukan jumlah kuantiti bekalan.

Pada masa sama sistem pelaporan pengedaran dan penjualan perlu diperkukuhkan untuk memastikan bekalan sampai dan dimanfaatkan golongan sasar.

Oleh itu katanya, makanisme yang lebih teliti wajar dipertimbangkan untuk kawasan berisiko ketirisan seperti Pulau Sebatik yang merupakan kawasan sempadan termasuk mendapatkan kerjasama organisasi pentadbiran setempat.

Dalam pada itu, Armizan turut berkata, peruntukan keseluruhan program penyeragaman harga yang diluluskan bagi tahun 2024 ialah sebanyak RM225 juta.

Katanya, Tawau dan Kalabakan sebanyak tiga zon terlibat meliputi 13 kawasan pengedaran dan 32 'point of sale'.

Dan Zon Pulau Sebatik mempunyai lapan kawasan pengedaran yang terlibat iaitu, Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang, Bergusong, Sungai Pukul, Sungai Pisak-Pisak, Sungai Lahi dan Sungai Laba dengan 21 buah 'point of sale'.

TETITIA YUSOFF