fb fb fb fb fb

Kerajaan perluas program STR sasar golongan Orang Asli

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (dua kiri) beramah mesra bersama kakitangan Bank Simpanan Nasional pada Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Bagi Masyarakat Orang Asli di Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah hari ini/Foto BERNAMA

TAPAH, 3 Mac - Program Rintis Penuaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diperluaskan ke kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan sebarang keciciran khususnya dalam masyarakat Orang Asli.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia melibatkan pendaftaran dan penerangan mengenai STR serta pembayaran secara tunai skim tersebut bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank.

Jelasnya, terdapat 82,000 masyarakat orang asli yang berdaftar dan layak mendapatkan STR membabitkan nilai keseluruhan RM 82.4 juta.

"Dari jumlah ini, kita tahu sekarang, 14,000 orang tidak ada bank akaun. Dengan ada usaha macam ini, kita akan menolong mereka buka bank akaun dan meninggikan (meningkatkan) kefahaman dan kecelikan kewangan yang ada dalam usaha kita menolong mereka (golongan) yang rentan.

"Ini bagi memudahkan golongan tersebut yang jauh daripada fasiliti bank di samping dapat memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau ditemui pada lawatan Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi masyarakat orang asli di Dewan Jelutong Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak.

Pada program itu, seramai 409 ketua isi rumah orang asli menerima bantuan tersebut bagi daerah Batang Padang dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Projek rintis itu telah dimulakan sebelum ini di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak sejak 2019.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan 50 ketua isi rumah di Pasaraya TF Value Tapah.

Sumbangan tersebut telah ditambah baik pada tahun ini, dengan meningkatkan kadar bantuan serta perluasan barangan keperluan asas yang boleh dibeli antaranya peralatan persekolahan dan barangan kebersihan.

GRACE AISYAH KEDAYAN