KUALA LUMPUR, 3 Mac - Golongan anak muda dinasihatkan tidak terkeliru dengan maklumat palsu serta perlu mengimbangi dengan ilmu agar tidak tersasar dalam menyampaikan dakwah menerusi media sosial, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Zulkifli berkata perkembangan mendapatkan kefahaman agama semakin baik dalam kalangan masyarakat dan para belia, namun perlu menapis setiap maklumat yang diterima dalam mendepani cabaran era teknologi masa kini.
"Keadaan disebut sebagai infodemik, yang mana gelombang maklumat palsu menjadi ibarat wabak yang tidak tertahan lagi di dalam masyarakat. Di sinilah tanggungjawab kita untuk bersama-sama membawa agenda atau projek pembangunan masyarakat Madani yang maju dalam segala aspek.
"Kita perlu berhati-hati dan meneliti sesuatu supaya sebelum kita mendapatkan maklumat itu dan ia perlu ditapisi dengan keilmuan yang kedua adalah sekiranya ada beberapa kekaburan yang paling terbaik adalah kita merujuk kepada pihak yang berautoriti," katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Madani Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2024 di Pusat Belia Antarabangsa hari ini.
Tambahnya, para belia yang dilatih oleh YADIM berperanan sebagai ejen pendakwah akan membawa perubahan dalam kalangan masyarakat kerana memiliki pelbagai kemahiran untuk menjadi seorang daie.
Lebih 200 rakan siswa YADIM dari universiti awam dan swasta, Institut Pendidikan Guru serta Politeknik dari seluruh negara telah hadir konvensyen itu sejak 1 Mac lalu.