fb fb fb fb fb

Perluas Program Rintis Penuaian STR ke pedalaman

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

TAPAH, 3 Mac - Program Rintis Penuaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diperluaskan ke kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia khsusunya kepada masyarakat Orang Asli, bagi mengelakkan keciciran bantuan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia melibatkan pendaftaran dan penerangan mengenai STR serta pembayaran secara tunai skim tersebut untuk mereka yang tidak mempunyai akaun bank.

Jelasnya, terdapat 82,000 masyarakat Orang Asli yang berdaftar dan layak mendapatkan STR melibatkan nilai keseluruhan RM82.4 juta.

"Daripada jumlah ini, kita tahu sekarang 14,000 orang tidak ada akau bank. Dengan ada usaha seperti ini, kita akan menolong mereka buka akaun bank dan meninggikan (meningkatkan) kefahaman dan kecelikan kewangan yang ada. Kalau kita tengok daripada segi program yang ada ini, saya rasa inilah antara kejayaan-kejayaan kerajaan di mana kita betul-betul menolong mereka yang rentan," kata Amir Hamzah kepada pemberita dalam lawatan Program Rintis Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi masyarakat Orang Asli di Dewan Jelutong Hutan Lipur Kuala Woh, di sini.

Jelasnya, ia akan memudahkan golongan tersebut yang jauh daripada fasiliti bank disamping dapat memastikan bantuan kerajaan itu sampai kepada golongan yang memerlukan.

Pada program itu, seramai 409 ketua isi rumah (KIR) orang asli menerima bantuan tersebut bagi daerah Batang Padang dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Projek rintis itu telah dimulakan sebelum ini di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak sejak 2019 dan akan diteruskan di lokasi lain antaranya Hulu Perak; Lipis dan Rompin, Pahang; serta Gua Musang, Kelantan.

Sebelum itu, beliau meninjau pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan 50 KIR di Pasaraya TF Value Tapah.

Sumbangan tersebut telah ditambah baik pada tahun ini, dengan meningkatkan kadar bantuan serta perluasan barangan keperluan asas yang boleh dibeli antaranya peralatan persekolahan dan barangan kebersihan.

TETITIA YUSOFF