KANGAR, 24 November - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis telah menyita 10 buah motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, penunggang motosikal yang dikenakan tindakan saman dan motosikal yang disita tersebut melibatkan kesalahan Tiada Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motosikal (LKM) Tamat Tempoh, Tiada Perlindungan Insurans dan kesalahan berkaitan teknikal serta pengubahsuaian motosikal secara ekstrem.
"Tindakan menyita motosikal yang diubahsuai struktur asal kenderaan tersebut adalah untuk memastikan aspek keselamatan kenderaan dan pengguna jalan raya lain terjamin.
"Dalam Operasi Khas secara bersepadu di antara JPJ dan JSPT ini, sebanyak 200 notis saman bagi pelbagai kesalahan turut dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan semasa diperiksa oleh pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ dan PDRM," katanya menerusi satu kenyataan.
Operasi diadakan secara serentak di tiga lokasi iaitu KM 2 Jalan Kangar - Alor Setar, KM 1.5 Jalan Kangar - Alor Setar dan KM 1 Jalan Wan Ahmad melibatkan 40 pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ dan JSPT.