fb fb fb fb fb

Ops Banteras, cekup lima pasangan maksiat - JAINJ

JOHOR BAHRU, 27 September- Lima pasangan dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Banteras di sekitar Johor Bahru, malam tadi.

Pasangan berusia 22 hingga 42 tahun itu ditangkap ketika berada di dalam bilik hotel secara berdua-duaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata rutin operasi itu bermula pukul 11.00 malam dan tamat pada pukul 3.00 pagi tadi bertujuan mencegah perbuatan maksiat.

Selain hotel, operasi yang disertai 18 penguat kuasa JAINJ turut membuat pemeriksaan ke atas premis pusat urut.

"Kami memilih untuk membuat operasi pada hari bekerja adalah kerana kami ingin membuat pencegahan tidak hanya tertumpu pada hari-hari minggu dan musim cuti sahaja.

Ini bagi memberi peringatan kepada masyarakat bahawa penguat kuasa ini tidak hanya bertindak pada waktu-waktu puncak sahaja. Kita lazimkan tindakan pada segenap masa supaya mereka ini gerun untuk melakukan jenayah syariah yang semestinya perlu ditegah dan dijauhi," kata Mohd Fared kepada pemberita semasa operasi berkenaan yang tamat, awal pagi tadi.


(Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid)

Beliau yang mengetuai serbuan turut menyampaikan nasihat awal kepada pasangan yang ditangkap.

Kelima-lima pasangan itu kemudian dibawa menaiki kenderaan JAINJ untuk diambil tindakan.

Operasi dibuat mengikut peruntukan Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Sejak Januari hingga akhir Ogos lalu, sebanyak 1,525 operasi telah dijalankan JAINJ dan berjaya menangkap 568 pasangan.

Media Baharu