fb fb fb fb fb

LRT laluan Ampang/Sri Petaling kembali beroperasi normal Februari 2024

(Foto Rapid Rail)

KUALA LUMPUR, 27 September -Perkhidmatan LRT untuk Laluan Ampang/Sri Petaling yang pada awalnya dirancang beroperasi semula pada pertengahan Oktober 2023, terpaksa ditunda selama tiga bulan atas sebab kerosakan tambahan struktur jejambat.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT laluan itu, menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan menyeluruh (Fasa 2) struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya itu dijangka siap dan operasi normal akan disambung semula pada 29 Februari 2024.

Menurut Rapid Rail, penambahan masa amat perlu kerana, selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165, yang memerlukan pembaikan menyeluruh.

“Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja-kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat-jejambat tersebut bagi memastikan ianya selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal,” menurut kenyataan tersebut.

Kerja-kerja pembaikan itu turut melibatkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang yang terletak bersebelahan jejambat LRT terlibat.

“Pertimbangan keselamatan adalah keutamaan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja yang berisiko tinggi ini,” menurut kenyataan itu.

Susulan pelanjutan kerja-kerja pemulihan itu, Rapid Rail memohon maaf atas sebarang kesulitan dialami pengguna.


(Kerja-kerja baik pulih struktur jejambat LRT berhampiran Stesen
LRT Bandaraya giat dijalankan/Foto Rapid Rail)

Media Baharu