fb fb fb fb fb

Operasi stesen Masjid Jamek, Pasar Seni dilanjutkan hingga 1 pagi esok dan Ahad

Rapid Rail memaklumkan pelanjutan operasi ini dilaksanakan bersempena program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi stesen Masjid Jamek dan Pasar Seni pada malam 23 dan 24 Ogos 2025 sehingga pukul 1.00 pagi.

Menerusi satu kenyataan, Rapid Rail memaklumkan pelanjutan operasi ini dilaksanakan bersempena program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, di sini.

"Stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen untuk meneruskan perjalanan pulang mereka.

"Para penumpang digalakkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen," " menurut kenyataan itu.

Bagi pengguna yang menggunakan token, mereka disarankan agar membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen.

"Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar.

"Penumpang yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen," tambah kenyataan itu lagi.

Penumpang juga disarankan untuk mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI