KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menjenamakan semula empat skim di bawahnya dengan identiti baharu dikenali sebagai 'LINDUNG', sebagai langkah memperkukuh peranan agensi itu dalam melindungi pekerja.
Penjenamaan semula ini disifatkan sebagai permulaan kepada reformasi struktur yang bakal meningkatkan kecekapan operasi serta keberkesanan dasar keselamatan sosial negara.
Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, menegaskan PERKESO tidak lagi dilihat sekadar sebagai agensi kerajaan, tetapi sebagai pelindung utama kepada majoriti rakyat.
“Harapan kami, tiada siapa yang akan dibiarkan jatuh tanpa sokongan PERKESO kerana setiap rakyat yang memerlukan mesti sentiasa dilindungi, dibantu dan diberdayakan demi kesejahteraan bersama,” beliau berucap pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan LINDUNG, di sini.
Majlis itu turut menyaksikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyampaikan penghargaan kepada lapan penerima Majikan Pesona LINDUNG yang terdiri daripada golongan artis dan syarikat media.
Penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada majikan yang menjaga kebajikan pekerja dengan konsisten membayar caruman, di samping membina empayar perniagaan masing-masing.
Antara penerima penghargaan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Noor Neelofa Mohd Noor, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Christy Ng serta pasangan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal.
Penjenamaan baharu ini dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha PERKESO memperkukuh jaringan perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat Malaysia.