(Foto Prasarana)
KUALA LUMPUR, 28 Januari- Operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan hingga 2.00 pagi esok bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka meningkat bersempena dengan beberapa acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.
Prasarana dalam kenyataan memaklumkan operasi kesemua stesen akan turut dilanjutkan bagi membolehkan penumpang menuju destinasi akhir.
Manakala operasi bas Rapid KL bagi laluan-laluan terpilih akan dilanjutkan hingga 2.30 pagi.
"Berikutan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara Stesen LRT Masjid Jamek dengan Stesen LRT Bandaraya, para penumpang dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif yang disediakan untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil," menurut kenyataan itu.
Bagi mengelak kesesakan, para penumpang juga dinasihatkan agar terus membeli token perjalanan pulang sebaik sahaja tiba di Bukit Jalil, ataupun menggunakan kad Touch ‘n Go.
(Foto Prasarana)
"Sila pastikan baki kad mencukupi. Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Anggota Polis Bantuan tambahan akan ditempatkan di stesen-stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang," katanya.
Prasarana meminta penumpang agar mematuhi peraturan ketika menggunakan perkhidmatan rel dan bas, termasuk sentiasa memakai pelitup muka.
"Kami memohon maaf atas kesulitan akibat gangguan perkhidmatan di antara StesenLRT Masjid Jamek dengan Stesen LRT Bandaraya," kata kenyataan Prasarana.