SUNGAI PETANI, 28 Januari- Sembilan lelaki ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah premis di Pusat Komersial Saujana, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua individu berusia 19 hingga 49 tahun itu ditahan menerusi Op dadu dan Op Limau pada pukul 2.45 pagi.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota D-7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan serbuan di premis berkenaan.
Hasil siasatan awal, seorang lelaki berusia 46 tahun mengaku sebagai penganjur judi tersebut. Siasatan lanjut mendapati, aktiviti perjudian ini dipercayai telah berlangsung selama dua hari," katanya.
(Sembilan individu ditahan ketika sediang berjudi menerusi Op Dadu dan Op Limau)
Tambah beliau, pihaknya merampas dua buah meja, sembilan kerusi, 52 daun pakau dan wang tunai berjumlah RM20,984.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.