BETONG, 25 September- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu di Nanga Buai, Ulu Padeh, di sini, disambung hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pencarian ditumpukan di sekitar kawasan rumah panjang dengan radius antara satu hingga dua kilometer termasuk menyusuri anak sungai.
Pasukan SAR terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung.
Khidmat anjing pengesan K-9 bernama Daisy turut digerakkan bagi mengesan wanita berkenaan.
Pada hari pertama operasi semalam, pasukan SAR menemukan pakaian dalam mangsa kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Bomba.
Mangsa dikenali sebagai Rumai Anak Jantin, 75, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah menuju ke kawasan belakang rumah panjang pada lewat petang Selasa lalu.