GERIK, 3 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota tentera yang dipercayai lemas di kawasan Hutan Royal Belum, Gerik diteruskan hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, operasi melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Operasi pencarian dilakukan hingga 6.00 petang ini sebelum ditangguhkan sekiranya mangsa masih belum ditemukan," kata Zulkifli.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.56 pagi semalam.
Ia melibatkan dua anggota tentera lemas di kawasan hutan Royal Belum semasa menjalankan tugas Operasi Kota Echo/Foxtrot pada 29 November lepas.
Mangsa Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin ditemukan lemas manakala Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmizi masih hilang.
Kejadian dipercayai berlaku semasa dua anggota tersebut bersama tujuh yang lain cuba menyeberangi Sungai Merah namun gagal sebelum dihanyutkan arus deras.