AYER KEROH, 3 Disember- Seiring misi Melaka ke arah pendigitalan, satu lagi projek rintis bakal dilaksana kerajaan negeri kepada penternak haiwan.
Ia dengan melabel haiwan ternakan menggunakan kod QR.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha dilaksana bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengesan pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran.
Ia juga selaras usaha untuk memperluaskan pelaksanaan Kampung Digital yang diwujudkan kerajaan negeri.
“Kita menyarankan kepada penternak peternak ini supaya dapat melabelkan teranakan mereka dengan kod QR, jika berlaku kemalangan kod QR itu akan menunjukkan alamat rumah penternak dan jika tiada kod QR kita akan lelong," katanya.
Inisiatif itu secara tidak langsung menjadikan Melaka negeri pertama melaksanakannya secara digital.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka Bagi Sesi 2023-2025 dan Penyerahan Sijil Penubuhan Civil Defense Auxiliary Emergency Response Team (CDA-ERT) Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka.