fb fb fb fb fb

Operasi laluan kontra di CIQ akan diaktifkan sempena Krismas

FOTO FAIL

KULAI, 21 Disember - Pengoperasian laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor, akan diaktifkan berikutan jangkaan pertambahan jumlah kenderaan sempena sambutan Perayaan Krismas pada 25 Disember ini.

Laluan kontra itu membolehkan pengembara menggunakan kaunter `keluar’ untuk memasuki negara seterusnya dapat mengurangkan kesesakan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata laluan kontra diaktifkan apabila jumlah pengembara memasuki negara lebih ramai daripada jumlah pengembara keluar negara.

Inisiatif itu membolehkan pertambahan sembilan kaunter manual, dan enam kaunter e–gate semasa waktu puncak memasuki negara.

Selain itu pihaknya juga meminta kerjasama pihak berkuasa untuk mengurangkan kesesakan trafik di bandar Johor Bahru.

"Dalam bandar Johor Bahru ini, kesesakan ada banyak faktor antaranya projek Sistem Transit Rapid (RTS), jadi ada beberapa jalan yang terpaksa ditutup ataupun lorong terpaksa ditutup, ada beberapa tindakan kita sudah buat untuk segera, kita minta bantuan daripada pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM), trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sendiri, untuk mengelakkan kesesakan," kata Mohamad Fazli dalam satu sidang media, di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut memaklumkan Johor menyasarkan untuk menyelesaikan 10 daripada 44 lokasi banjir kilat yang dikenal pasti di Johor Bahru, menjelang tahun hadapan.

Projek akan dijalankan mengikut peruntukan disediakan di peringkat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Antara lokasi terlibat ialah Ayer Molek, Bulatan Mount Austin dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL).

TETITIA YUSOFF