TANJUNG MALIM, 21 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan berjumlah RM250,000 untuk Yayasan Pembangunan Buku Negara.
Perkara itu disebabkan ketamadunan sesebuah negara adalah berlandaskan kekuatan ilmu dan idealisme.
Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya mencari ilmu secara mendalam dan menyeluruh selain tidak mudah terpengaruh dengan cebisan maklumat yang dikongsi menerusi kupasan singkat sesuatu topik di media sosial semata-mata.
"Merumuskan satu idea yang kompleks, merumuskan cita-cita bangsa masa depan negara idealisme perjuangan hanya dengan kupasan beberapa minit di platform media sosial.
"Malah berbicara berkenaan dasar negara, ekonomi, pendidikan dengan hanya beberapa minit. Ini sangat bahaya kerana ia bukan dasar ilmu secara menyeluruh," katanya dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2023 di sini.
Dalam pada itu, Anwar berpandangan ada segelintir golongan muda lebih mudah 'terpukau' dengan cebisan maklumat dan kupasan singkat selain cenderung untuk menghukum dan membuat rumusan yang kurang menyeluruh.