ALOR SETAR, 27 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan 1,864 notis saman telah dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bermula 20 Januari lalu hingga semalam. Sepanjang tempoh itu, 15 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata, melalui Operasi khas yang melibatkan 187 anggota JPJ Kedah itu, pihaknya memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi punca berlakunya kemalangan dan kemalangan maut di jalan raya.
Kesalahan terbabit ialah tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan. Motosikal masih lagi mencatatkan kesalahan tertinggi diikuti kereta dan lain-lain kenderaan.
Katanya, melalui penyamaran bas pula, tiga kes dikesan dan telah diambil tindakan melibatkan kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tiada pemandu kedua dan memotong di garisan berkembar.
"Dan operasi ini terbahagi kepada lima operasi khas, yang pertama Ops Khas Motosikal, Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan(KPB), Ops Khas Teknikal dan Ops Khas sembilan kesalahan utama atau kita panggol Nine Big Sin. Objektif operasi pada kali ini untuk memantau kelancaran pergerakan pengguna jalan raya adalah lebih selamat berasaskan slogan pandu cermat sampai selamat," kata Stien Van.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap bas ekpress sempena Ops Tahun Baharu Cina 2025 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, malam tadi.
Ops Tahun Baharu Cina 2025 diadakan selama 19 hari hingga 9 Februari depan dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.