fb fb fb fb fb

Operasi kenderaan lebih muatan: Demi Keselamatan, kurangkan kos selenggara jalan raya

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Operasi membanteras kenderaan lebih muatan yang dilancarkan secara besar-besaran bermula semalam bukan sahaja bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya, tetapi mengurangkan kos penyelenggaraan jalan raya yang semakin meningkat.

Tegas Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, pihaknya mendapati kebanyakan pemandu lori membawa muatan yang berlebihan sekali gus menjadi antara punca utama kepada kemalangan dan kerosakan jalan raya di negara ini.

"Apabila muatan berlebihan menyebabkan jalan raya cepat rosak dari sepatutnya. Jadi kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya terpaksa membuat tambahan penyelenggaraan. Kadangkala, bila kita telah selenggara, tidak lama kemudian kembali berlubang-lubang.

"Ini terutamanya di kawasan-kawasan perindustrian, pelaburan dan kuari. Jalan negeri dan persekutuan mengalami kerosakan. Situasi ini bukan sahaja meningkatkan kos penyelenggaraan, tetapi risiko besar kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat.

Selain kenderaan lebih muatan, MOT juga katanya turut memberi fokus menangani risiko kemalangan jalan raya terhadap semua jenis kenderaan menerusi pelbagai langkah penguatkuasaan yang giat dilaksanakan.

ROSLINA BINTI DIN