fb fb fb fb fb

NCER berjaya realisasi pelaburan RM58.39 bilion, cipta 16,000 peluang pekerjaan

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merealisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh sehingga September tahun ini.

Menerusi laman facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Ke-34, pagi tadi.

"Bagi tempoh tersebut, NCIA turut memudahcara pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dan memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi menerusi program APIRC@NTIC dan menerokai potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu oleh pelaburan swasta", katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesyuarat itu turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, Taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Baharu dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.

Tambahnya, penting untuk dipastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 serta dasar-dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

ROSLINA BINTI DIN