fb fb fb fb fb

KPWKM seru kerjasama semua pihak tangani isu sosial remaja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru semua pihak agar bertindak bersama dalam menangani isu sosial membabitkan remaja, bukannya saling menuding jari.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata tragedi membabitkan dua remaja baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran penting kerana ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang dihadapi generasi muda masa kini sama ada di rumah, di sekolah mahupun di dunia digital tanpa sempadan.

"KPWKM berpandangan tindakan tegas terhadap penyalahgunaan media sosial perlu dilaksanakan seiring dengan pendekatan empati, dengan memberi penekanan kepada bimbingan, komunikasi serta kasih sayang dalam keluarga dan komuniti sekolah.

"Kementerian turut menegaskan bahawa keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring sebagai benteng utama dalam membentuk nilai serta keperibadian anak-anak," katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama, KPWKM komited memperkukuh pelaksanaan dasar dan program yang menyokong institusi keluarga serta pembangunan sosial masyarakat, namun menegaskan usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan komuniti.

KPWKM berharap tragedi berkenaan menjadi titik tolak kepada tindakan bersama dalam memastikan perlindungan dan kesejahteraan generasi muda dapat dipertingkatkan demi masa depan negara.

Beliau mengulas mengenai kejadian yang menyaksikan seorang pelajar perempuan maut ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Selangor, semalam.

Selain itu, sejak akhir-akhir ini beberapa kejadian serius membabitkan pelajar sekolah dilaporkan termasuk kes rogol membabitkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima dan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka, yang membawa kepada tindakan buang sekolah serta-merta.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM