fb fb fb fb fb

Ribut landa Sijangkang, wanita 50-an antara yang cedera

FOTO BOMBA SELANGOR

KUALA LANGAT, 15 Oktober - Seorang wanita 50-an antara yang mengalami kecederaan dalam kejadian ribut yang melanda Sijangkang, petang tadi.

Kejadian turut menyebabkan beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.24 petang.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kejadian ribut tersebut menyebabkan bangunan Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang runtuh; mengakibatkan seorang wanita berumur 51 tahun terperangkap di bawah runtuhan berkenaan.

"Mangsa berada dalam keadaan sedar ketika kerja-kerja menyelamat dilakukan oleh anggota bomba bertugas. Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.05 petang dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha.

"Runtuhan juga melibatkan sebuah surau Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berhampiran dan terdapat anggaran tujuh hingga sembilan orang pelajar KAFA mengalami kecederaan ringan," katanya menerusi kenyataan.

Kesemua mangsa yang terlibat sedang dirawat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM