SEPANG, 9 Julai - Operasi haji tahun ini yang melibatkan kuota penuh 31,600 jemaah Malaysia buat pertama kali dalam tempoh empat tahun, berjalan dengan lancar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata antara cabaran yang dihadapi jemaah haji tahun ini ialah keadaan cuaca panas menjangkau 38 hingga 48 darjah Celsius, dan jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang mengerjakan haji di Tanah Suci.
Beliau bersyukur apabila kumpulan jemaah haji Malaysia mendapat pengiktirafan oleh Arab Saudi sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang baik selain berilmu.
"Kerajaan Arab Saudi juga sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila TH menerima Anugerah Labbaitom bagi Kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pejabat Urusan Haji, yang telah saya terima daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui menyambut kepulangan 350 jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Sabtu.
Tambah Na'im, seramai 70 pesakit masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Mekah dan Hospital Arab Saudi, manakala sembilan orang jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci Mekah.