KUALA LUMPUR, 23 Disember - Gangguan melibatkan sistem pemprosesan penumpang global di lapangan terbang di Malaysia telah pulih sepenuhnya.
Menurut kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), operasi daftar masuk dan menaiki pesawat di semua lapangan terbang kendalian MAHB telah kembali beroperasi seperti biasa.
Pasukan lapangan terbang dan syarikat penerbangan akan terus memantau keadaan bagi memastikan proses berjalan lancar.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada para penumpang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang insiden ini," menurut kenyataan itu yang dimuat naik di platform media sosial.
Terdahulu MAHB memaklumkan, gangguan sementara itu melibatkan sistem pemprosesan penumpang global yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Ia menjejaskan proses daftar masuk dan menaiki pesawat di lapangan terbang Malaysia, menyebabkan syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang MAHB melaksanakan prosedur kontingensi.
Pengendali lapangan terbang itu turut menambah, kios layan diri kekal beroperasi sepenuhnya yang membolehkan penumpang mencetak pas menaiki pesawat dan tag bagasi.
"Pengembara dinasihatkan mengikuti panduan daripada pasukan syarikat penerbangan dan lapangan terbang di terminal, serta menyemak terus dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk mengemas kini jadual penerbangan terkini dan meneruskan dengan daftar masuk dalam talian jika tersedia," menurut MAHB.