SUBANG JAYA, 23 Disember - Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 27 Disember depan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata pemantauan akan terus dilaksana bagi mewujudkan ekosistem 'self-regulatory' atau kawal selia kendiri dalam kalangan peniaga, seterusnya menjaga kepentingan dan hak pengguna.
Beliau memaklumkan pemeriksaan pada hari pertama pelaksanaan SHMMP Krismas ini menyaksikan tahap pematuhan peniaga di sekitar negeri Selangor berada pada tahap yang baik.
"Pemeriksaan pematuhan hari ini memfokuskan kepada pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada pergerakan harga yang mendadak semasa musim perayaan.
"Penumpuan diberikan kepada pertama penggunaan tanda harga khas berwarna merah jambu ataupun pink tag, penggunaan alat timbang sukat yang disahkan, pematuhan harga maksimum duncit dan keberadaan dan kestabilan bekalan.
"Kita mendapati kerjasama dan pematuhan adalah pada tahap yang amat baik. Malahan, kebanyakan barangan adalah dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga kawalan maksimum.
"Jadi, KPDN Selangor percaya bahawa harga yang kompetitif ini boleh dijual oleh syarikat-syarikat dan premis-premis lain dan wajar ditawarkan kepada pengguna di seluruh negeri Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pemeriksaan Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 di Subang Jaya.
SHMMP Krismas yang dilaksanakan selama lima hari itu melibatkan sebanyak sembilan jenis barangan kawalan yang diwartakan di bawah skim tersebut. Antaranya, daging kambing biri-biri bertulang import, ubi kentang import (China), tomato, lada benggala hijau dan cili merah.
Mengulas mengenai keberadaan stok bekalan di Selangor, Mohd Zuhairi berkata prestasi keberadaan bekalan adalah terkawal dan mencukupi.
Bagaimanapun, pihaknya giat menjalankan pemeriksaan bekalan bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus diambil sekiranya terdapat lokaliti yang didapati menghadapi gangguan bekalan.
Bagi prestasi semasa SHMMP sepanjang tahun 2025 melibatkan perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, sebanyak 1,951 premis diperiksa di Selangor dengan sejumlah 222 premis telah dikenakan tindakan di bawah penguatkuasaan skim.
Antaranya melibatkan kesalahan seperti peniaga tidak menggunakan tanda harga khas (tag pink), menjual melebihi harga maksimum ataupun gagal mempamerkan tanda harga.