fb fb fb fb fb

Hujan berterusan di Pantai Timur, Johor bermula Khamis

Amaran angin kencang dan laut bergelora juga masih berkuat kuasa hingga Khamis di perairan Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 23 Disember - Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi negeri-negeri di Pantai Timur dan Johor bermula Khamis ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan yang terlibat ialah seluruh negeri Terengganu, manakala Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh dari Khamis ini hingga Ahad (28 Disember).

Keadaan yang sama dijangka melanda Pahang di daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, serta Johor yang melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dari Jumaat (26 Disember) hingga Isnin (29 Disember).

Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora juga masih berkuat kuasa hingga Khamis di perairan Laut China Selatan.

Sementara itu, kenyataan Ketua Pengarah MET Malaysia menyebut, analisis terhadap model-model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku dari 25 hingga 29 Disember.

Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan dan pada masa yang sama menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia, serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini dan sahih.

MASNIZA AWANG KECHIK