fb fb fb fb fb

Operasi Bersepadu di Kedah, 240 kenderaan diperiksa

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab (tengah)

SUNGAI PETANI, Ogos - Kira-kira 240 kenderaan diperiksa dan 45 kenderaan berenjin diesel telah menjalani pemerhatian secara visual dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah.

Daripada jumlah itu dua notis arahan bawah Seksyen 48 A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan kerana kenderaan mengeluarkan asap melebihi had yang ditetapkan.
 
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi selama tiga jam itu disertai 68 kakitangan pelbagai agensi dan jabatan penguatkuasaan di dua lokasi berasingan di sekitar Sungai Petani, malam tadi.
 
Operasi bertujuan menguatkuasakan pelbagai kesalahan lalu lintas, mengesan pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah dan kesalahan berkaitan pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising.
 
"Bagi JAS Kedah, seramai  20 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan pelepasan asap hitam daripada kenderaan diesel dan paras bunyi bising ekzos dari kenderaan motorsikal. Dalam operasi itu, dua Notis Arahan telah dikeluarkan bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
 
"Seorang pemilik kenderaan turut ditawarkan kompaun RM2,000 bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996. Pemilik kenderaan berkenaan perlu melakukan penyelenggaraan kenderaan dan diminta hadir untuk ujian semula," kata Sharifah Zakiah.
 
Katanya, had maksimum pelepasan asap hitam yang dibenarkan adalah 50 peratus kelegapan.
 
Tegas Sharifah Zakiah, JAS Kedah sentiasa komited mengawal punca-punca pencemaran udara daripada pelbagai aktiviti seterusnya menjamin kualiti udara yang baik.
 
Menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 [Pindaan 2024), denda maksima yang boleh dikenakan bagi kesalahan mengikut Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024) berkaitan pencemaran udara adalah sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

TETITIA YUSOFF