OPA hari pertama selesai, fokus empangan 4 negeri pastikan bekalan air terjamin

Foto fail

SUBANG, 6 April -Operasi Pembenihan Awan (OPA) hari pertama selesai melibatkan kawasan di negeri Kedah dan Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPA empat hari menumpukan operasi pada empangan di empat negeri untuk memastikan bekalan air domestik dan pertanian tidak terganggu.
  • Inisiatif METMalaysia bersama NADMA dan TUDM bagi mendepani cabaran cuaca panas dan melaksanakan operasi pembenihan awan.
  • Objektif utama tingkatkan paras empangan, beri kelembapan kepada ekosistem dan kurangkan risiko kebakaran, dengan jangkaan hujan sehingga 60 peratus.

Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia, Yuzaimi Mahat berkata, OPA selama empat hari kali ini menumpukan kepada empangan di Perak, Kedah, Perlis, dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik dan pertanian agar tidak terus terjejas.

“Ia bagi membantu meningkatkan kawasan pengairan empangan macam di Kedah dan Di Timah Tasoh di Perlis dan beberapa empangan di Johor, itu yang kota buat pada hari ini lah”, katanya semasa menyertai OPA di sini, hari ini.

Inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu adalah bagi mendepani cabaran cuaca panas yang sedang melanda negara.

Katanya, objektif utama siri operasi ini adalah untuk meningkatkan paras air di empangan strategik terbabit serta membantu memberikan kelembapan kepada ekosistem dalam mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.

“Untuk jangkaan kali ini, kita akan melihat model cuaca sepanjang minggu ini dan mencari kesesuaian semasa keadaan dan kita jangkakan akan akan turunnya hujan dengan jangkaan hasil sehingga 60 peratus”, katanya lagi.

Berdasarkan laporan status cuaca setakat semalam, Kota Setar di Kedah kini berada pada Tahap Dua atau Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius yang berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.