KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan satu operasi penguatkuasaan bersepadu dikenali sebagai Op Selamat PaPa bermula 1 Ogos ini, sebagai langkah tegas mengawal penjualan dan penggunaan rokok elektronik termasuk vape di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi itu akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ia melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, pelaksanaan operasi itu sebahagian daripada Inisiatif Kesihatan Paru-Paru negara dan akan digerakkan secara menyeluruh melalui pendekatan 'whole-of-nation' bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan dan meluas.
Menurutnya, usaha itu turut memberi perhatian kepada golongan wanita yang menjadi mangsa asap rokok pasif, menerusi pendekatan simbolik dikenali sebagai Op Selamat MaMa.
"Kita telah pun merancang dan akhirnya akan membuat satu peluncuran penguatkuasaan bersepadu op yang kita sebutkan sebagai Op Selamat Paru-Paru, yang kita judulkan sebagai Op Selamat PaPa.
"Ini adalah 'Lung Health Initiative' (Inisiatif Kesihatan Paru-Paru) yang antara lainnya kita bangkitkan di 'World Health Assembly' (Perhimpunan Kesihatan Sedunia) di Geneva baru-baru ini," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Setakat 30 Jun lalu, sebanyak 15,775 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara, dengan 78,424 notis kesalahan dikeluarkan dan 524 kertas siasatan dibuka.
Jumlah produk vape di pasaran juga telah menyusut daripada lebih 3,200 jenama kepada hanya 390 yang kini berdaftar di bawah sistem KKM.