fb fb fb fb fb

Enam negeri henti pengeluaran, pembaharuan lesen rokok elektronik

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik tindakan enam negeri yang menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang adalah langkah yang positif dan seiring dengan aspirasi kesihatan awam meski berdepan cabaran di peringkat pelaksanaan.

Justeru kawalan sepenuhnya terhadap produk rokok elektronik hanya dapat dicapai melalui bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

"Saya tekankan bahawa itu adalah langkah yang baik meskipun ia tidak dapat membanteras penjualannya kerana penjualan di kedai-kedai runcit dan serbaneka masih lagi wujud ataupun berleluasa.

"Jadi itu perkara yang telah saya tekankan, persoalan kawalnya penjualan produk merokok, terutamanya vape ini, masih lagi adalah tanggungjawab besar Akta 852," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Palimen, di sini.

Satu mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik telah pun diadakan pada 22 Julai lalu untuk meneliti kemungkinan pengharaman penuh rokok elektronik, dengan libat urus melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Peguam Negara.

KKM turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja apabila ribuan notis telah dikeluarkan terhadap pelajar sekolah, manakala program intervensi berhenti merokok kini dilaksanakan secara aktif di lebih 950 lokasi seluruh negara.

Akta 852 yang dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu memberi fokus kepada kawalan dan penguatkuasaan terhadap produk merokok, namun tidak merangkumi pengharaman secara keseluruhan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI