KUALA LUMPUR, 28 Julai - Prasarana Malaysia Berhad akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya secara berperingkat bermula 9 Ogos hingga 22 November depan, membabitkan Fasa 2 dan Fasa 3.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan gangguan sistem yang pernah berlaku pada November 2022.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana, Dr. Prodyut Dutt berkata naik taraf tersebut melibatkan penggunaan sistem SelTrac Generasi 8, yang menawarkan teknologi terkini seperti analisis data masa nyata, perlindungan keselamatan siber dipertingkat dan kestabilan komunikasi lebih tinggi.
"Sistem ini telah diimplementasikan sejak tahun 1998. Jadi, selepas naik taraf ini, seluruh laluan dari Kelana Jaya ke Gombak akan dilengkapi dengan sistem yang lebih selamat dan boleh dipercayai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pengumuman kerja-kerja penaiktarafan sistem semboyan laluan Kelana Jaya di Menara Prasarana di ibu negara.
Naik taraf itu bagi menyokong kecekapan sistem, memberi jaminan kepada pengguna terhadap keselamatan dan kelancaran perjalanan, terutama pada waktu penggunaan tertinggi.
"Sistem kawalan tren automatik (ATC) berfungsi mengawal pergerakan tren, memastikan jarak brek selamat dan mengekalkan selang masa tiga minit antara tren semasa waktu puncak," jelasnya.
Kerja-kerja naik taraf itu dijadualkan berlangsung pada hujung minggu terpilih, dengan sesi ujian sistem dilanjutkan hingga ke waktu pagi, menyebabkan beberapa stesen hanya akan dibuka mulai pukul 9.00 pagi, berbanding waktu operasi biasa pukul 6.00 pagi.
Bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terjejas, Prasarana menyediakan perkhidmatan bas dan van perantara percuma untuk menghubungkan stesen-stesen yang terlibat dalam ujian sistem.