KANGAR, 29 Mac- Polis Perlis akan meningkatkan pemantauan di 12 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan (blackspot) di negeri itu.
Langkah ini diambil sebagai persediaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya dalam tempoh kepulangan perantau sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata pemantauan rapi itu akan dilaksanakan sepanjang Op Selamat 24 yang bermula semalam hingga 3 April nanti.
Beliau turut menekankan bahawa kumpulan paling berisiko mengalami kecederaan parah dan maut dalam kemalangan jalan raya adalah penunggang motosikal.
"Saya memohon dan merayu kepada semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati. Paling penting, amalkan sikap toleransi sesama pengguna jalan. Selain itu, kita juga dapati cuaca di Perlis kini tidak menentu dengan corak hujan panas yang boleh menjadi salah satu punca kemalangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 24 peringkat negeri Perlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, di Kangar.
Dalam pada itu, Datuk Muhammad turut memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan Op Lancar selama 15 hari bermula 23 Mac lalu bagi menangani kesesakan lalu lintas, terutamanya di jalan utama yang dijangka sesak dengan kepulangan perantau menjelang Aidilfitri.