MACHANG, 29 Mac- Aliran trafik di Kelantan mula perlahan dengan beberapa laluan utama mencatatkan kesesakan sejak malam tadi berikutan pertambahan jumlah kenderaan perantau yang pulang ke negeri itu sempena Aidilfitri.
Antara laluan yang terjejas termasuk tiga pintu masuk utama, iaitu melalui jajahan Pasir Puteh, Gua Musang, dan Jeli.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata situasi tersebut masih terkawal.
Bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri kali ini, beliau memaklumkan bahawa JPJ Kelantan akan memanfaatkan sepenuhnya pengoperasian Unit Pasukan Bermotor (UPB) bagi memantau aliran trafik serta memastikan pematuhan pengguna terhadap peraturan jalan raya.
Fokus utama operasi kali ini adalah laluan dari Gua Musang ke Kota Bharu, yang telah merekodkan lebih setengah juta kenderaan sejak malam tadi.
"Kita bebas bergerak dengan motosikal berbanding kereta yang pergerakannya lebih terhad. Namun, semua elemen yang kita gunakan adalah sesuai dengan situasi trafik di Kelantan, di mana kita menekankan aspek pemantauan secara Point of Block Check (POBC). Selain itu, kita turut melaksanakan operasi secara covert dan overt, iaitu aktiviti nyata dan tidak nyata," katanya.
Pada tahun ini, JPJ Kelantan telah menempatkan seramai 187 pegawai dan anggota penguat kuasa di lapangan bagi memastikan keselamatan jalan raya terjamin.
Dijangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan sempena Aidilfitri kali ini.