fb fb fb fb fb

Lonjakan gula darah pasca Ramadan undang komplikasi serius - Pakar

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Perubahan mendadak dalam corak pemakanan selepas Ramadan boleh menyebabkan lonjakan paras gula darah yang meningkatkan risiko komplikasi serius termasuk hiperglisemia dan penyakit kardiovaskular.

Pakar kesihatan mengingatkan bahawa kawalan gula darah yang konsisten bukan sahaja penting sepanjang Ramadan, tetapi juga selepasnya bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan.

Timbalan Dekan (Akademik, Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata rakyat Asia secara genetik lebih cenderung mengalami kenaikan gula darah yang cepat dan tinggi berbanding individu dari Barat, menjadikan mereka lebih berisiko terhadap masalah metabolik.

"Bagi pesakit diabetes, lonjakan paras gula lebih ketara selepas Ramadan kerana mereka sudah mengalami rintangan insulin yang menghalang tubuh daripada menggunakan insulin dengan berkesan untuk mengawal glukosa darah," katanya.

Menurutnya, peningkatan pengambilan makanan tinggi karbohidrat selepas Ramadan boleh memburukkan kawalan gula darah dan menyumbang kepada komplikasi seperti kerosakan saraf, kegagalan buah pinggang serta penyakit jantung.

Beliau menegaskan bahawa pemilihan makanan dan kawalan saiz hidangan amat penting dalam menguruskan paras gula darah.

"Makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran hijau, kekacang dan oat dapat membantu melambatkan penyerapan glukosa dan memberikan rasa kenyang lebih lama, sekali gus mengurangkan lonjakan gula darah," katanya.

Selain itu, beliau menyarankan agar masyarakat mengurangkan pengambilan makanan tinggi indeks glisemik, mengawal keinginan terhadap makanan manis secara berperingkat, dan mengamalkan pemakanan secara sedar (mindful eating) bagi mengekalkan kesihatan jangka panjang.

SITI AISHAH MD ISA