fb fb fb fb fb

APM perkukuh kesiapsiagaan, sedia misi ke Myanmar

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada dalam mod siap siaga untuk digerakkan bagi misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar, susulan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang mengakibatkan kemusnahan besar dan menjejaskan jutaan penduduk.

Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, pasukan khas yang terdiri daripada anggota terlatih dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), pegawai perubatan serta pakar logistik telah disiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kami sentiasa bersedia dan menunggu arahan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk segera berangkat ke Myanmar bagi membantu operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kecemasan,” katanya.

Persiapan rapi telah dilakukan di ibu pejabat APM, termasuk pemeriksaan aset dan peralatan khas seperti Leader Sentry untuk mengesan kestabilan struktur bangunan, Leader Hasty bagi mengesan mangsa tertimbus menggunakan teknologi tanpa wayar, serta Lighting Drone yang berfungsi sebagai pencahayaan kecemasan dan pemantauan video dalam operasi malam.

Sementara itu, Kapten (PA) Rageshwaran Maniam dalam kenyataan sama memaklumkan, penggunaan aset-aset canggih itu akan meningkatkan kecekapan pasukan dalam usaha mencari dan menyelamat, sekaligus memastikan operasi berjalan dengan lebih pantas dan sistematik.

Malaysia kekal komited terhadap usaha kemanusiaan serantau, memastikan setiap misi penyelamatan mematuhi piawaian antarabangsa INSARAG.

Langkah itu bukan sahaja memperkukuh peranan negara dalam bantuan kemanusiaan ASEAN, tetapi juga menegaskan kesiapsiagaan APM dalam menghadapi situasi bencana berskala besar.

Setakat ini, pasukan APM terus berada dalam keadaan siap siaga dan boleh digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE