SUNGAI BULOH, 24 Januari - Alat pengesanan had laju atau 'In-Car Radar' akan digunakan dalam penguatkuasaan had laju sepanjang Op Selamat 17, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata teknologi tambahan itu akan digunakan bagi mengesan kenderaan yang melanggar had laju ditetapkan.
Bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan, penggunaan alat 'Intelligent Compound Online Payment System' (iCOPS) akan diperluas.
iCOPS akan mengesan pemandu yang mempunyai rekod kesalahan trafik sebelum ini.
"In-Car Radar ini menentukan bahawa pemandu akan mematuhi had jalan raya, tidak membawa kenderaan di tempat yang bawah 100km/j untuk memandu laju.
"Manakala iCOPS satu sistem yang mana kita boleh melihat nombor plat kenderaan, sama ada kenderaan itu telah didaftarkan sebagai kenderaan yang disaman dan waran tangkap sudah dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina.
OP Selamat 17 yang akan bermula 28 Januari hingga 6 Februari mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi'.