FOTO KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA
JAKARTA, 24 Januari - Malaysia bakal menerima masuk 10,000 pekerja Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) seawal bulan depan.
Projek rintis tersebut melibatkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam satu kenyataan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani kedua-dua negara pada 7 dan 8 Februari di Bali bagi memuktamadkan perkara tersebut.
Terdahulu, beliau yang kini berada di Jakarta, telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah.
Malaysia secara prinsip bersetuju memperkenalkan pelbagai langkah untuk membela nasib imigran khususnya tenaga kerja Indonesia.
Berdasarkan MoU tersebut juga, satu jawatankuasa khas dianggotai wakil kedua-dua negara akan bertanggungjawab memantau keberkesanan projek rintis itu seterusnya menambah baik sebarang kelemahan.
Dalam pada itu, Indonesia turut bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan.
Kebenaran itu merupakan permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing sektor perladangan secara pengecualian khas yang diputuskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April 2021.