fb fb fb fb fb

OP PUU: Polis keluar saman bermula 1 Oktober

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri hari ini/Foto Polis KL

KUALA LUMPUR, 29 September — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula mengeluarkan saman kepada pesalah trafik di ibu negara menerusi Op Patuh Undang-undang (PUU) bermula 1 Oktober ini, selepas fasa advokasi selama sebulan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penguatkuasaan itu akan dijalankan sepanjang masa bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan trafik.

“Sejak 6 September lalu, hampir 70,000 notis advokasi telah diberikan kepada masyarakat yang melanggar undang-undang trafik, termasuk kesalahan kecil di kawasan tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur.

"Selepas ini, kita akan lebih agresif melaksanakan penguatkuasaan di seluruh ibu negara kerana kita bimbang tahap kesedaran masyarakat masih rendah,” katanya ketika ditemui selepas Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan trafik yang kerap direkodkan termasuk halangan lalu lintas, meletak kenderaan di kawasan larangan, melintasi garisan putih serta gagal berhenti di lampu isyarat merah.

“Kesalahan kecil seperti tidak memakai atau tidak memasang topi keledar dengan betul juga sering berlaku,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN