fb fb fb fb fb

Jayakan pembangunan moden, rakyat perlu ubah sikap - PM

Foto BERNAMA

GOMBAK, 29 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan kemudahan moden tidak akan membawa makna sekiranya rakyat tidak berubah daripada segi budaya dan sikap.

Perdana Menteri menekankan pentingnya budaya menjaga kebersihan dan menghargai kemudahan awam.

"Kita boleh sediakan satu kemudahan canggih kelas pertama. Tapi kalau budaya kita terikat dengan cara lama, buang sampah sana sini, secara sivik ia akan membebankan. Maksudnya, berubah mesti ada perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Mini Karnival MOT 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kebersihan merupakan sebahagian daripada ajaran agama.

"Kebersihan itu separuh dari iman. Bagaimana mungkin orang menggunakan kemudahan asas, baik tandasnya ataupun kawasan lalu lintasnya itu menjadi tempat pembuangan sampah," katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa budaya membuang sampah dan sikap sambil lewa memberi kesan buruk terhadap imej negara.

"Mana boleh manusia izinkan sampah sarap di kawasan rumahnya, kedainya, sekolahnya dan tempat pengangkutan awam. Itu tidak boleh, ia bertentangan dengan budaya kita, bertentangan dengan ajaran agama kita dan tentunya akan menyebabkan masalah daripada segi gambaran perhatian orang ramai termasuk pelancong,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan berkemungkinan diperlukan bagi memastikan perubahan budaya itu benar-benar berlaku.

"Saya fikir tidak menjadi masalah sekiranya kita akan mula memikirkan bagaimana menghukum mereka yang menyebabkan sampah dan kekotoran itu. Memang akan menimbulkan sedikit kemarahan, tapi saya tidak fikir ada pilihan,” katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM