fb fb fb fb fb

Aspek keselamatan sekolah jadi tumpuan KPM dalam Belanjawan 2026

Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 September - Aspek Keselamatan sekolah menjadi antara fokus utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan yang akan dibentangkan pada 10 oktober ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM turut akan memberi tumpuan khusus kepada aspek pembangunan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta inisiatif sokongan antibuli.

"Penyelenggaraan ini memang setiap tahun kita peruntukkan sejumlah yang sangat besar.

"TVET yang kita akan beri tumpuan yang sedikit bersasar dalam konteks melihat kepada kepentingan dan keperluan keutamaan dan juga hala tuju negara ketika ini, manakala yang kedua keselamatan secara keseluruhan dan ketiga berkaitan dengan sokongan kepada antibuli yang akan dimasukkan ke dalam rencana kepada pihak kementerian kewangan untuk dipertimbangkan", katanya.

Mengulas lanjut, mengenai aspek keselamatan sekolah, ketika ini lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara selesai diaudit bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik.

Turut diberi ditumpuan, agenda digital dan teknologi, persiapan pelaksanaan Kurikulum 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini, hari ini.

Pada Belanjawan 2025, KPM menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion.

Trainee