fb fb fb fb fb

OP PEWA: JPJ keluarkan 280 saman, sita kenderaan dipandu warga asing

KUALA LUMPUR, 22 September - Menghantar barangan dan menjual aiskrim antara alasan kerap digunakan warga asing untuk meloloskan diri dari sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun taktik itu gagal memperdayakan penguat kuasa jalan raya apabila 'kantoi' tidak memiliki dokumen diri yang lengkap, kata Timbalan Pengarah JPJWPKL, Erick Jusiang dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA), pada Khamis.

Katanya, sebanyak 280 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan pihaknya dalam Op PEWA di sekitar Jalan Tasik Tambahan, semalam.

"Daripada 280 saman yang kita keluarkan...mendapati kenderaan yang disita itu adalah milik warga tempatan tetapi dipandu oleh warga asing.

"Jadi saya menyeru kepada penduduk warga tempatan supaya tidak menyewa atau membenarkan pemandu warga asing memandu kenderaan mereka sebab apabila kita sita, kami akan keluarkan saman juga kepada pemilik kenderaan tersebut di bawah seksyen 64(1) JPJ 1987," katanya.


(Op PEWA di sekitar Jalan Tasik Tambahan, Ampang/FOTO JPJ)

Daripada jumlah itu sebanyak 114 saman dikeluarkan kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu, 32 saman bagi kesalahan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans, manakala 68 kenderaan disita melibatkan 64 motosikal, dua kereta dan dua lori.

Dalam operasi itu, 49 warga asing dari Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan dan Indonesia turut ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi masa di negara ini.

Kesemua mereka yang berumur 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Operasi yang bermula kira-kira 9 pagi dan berakhir 2 petang itu disertai 68 anggota JPJWPKL dan 11 anggota Jabatan Imigresen (JIM).

Media Baharu